7 Cara Bagaimana Syaitan Cuba Untuk Mencabut Iman Manusia Di Kala Maut adalah seperti berikut;
1)Syaitan akan datang membawa permainan yang disukai oleh seseorang anak adam semasa hidupnya.
Ulasan; Jika seseorang suka bermain judi, maka syaitan akan menghiburkannya dengan segala macam jenis judi sehingga di saat nyawa tercabut dari halkumnya apa yang ada di sanubarinya adalah judi dan bukan lagi Allah Taala. Ini adalah terpakai untuk semua jenis permainan seumpama golf, memancing, wayang kulit dan lain-lain yang menyebabkan manusia alpa dari mengingati Allah.
2)Syaitan akan menjelma menyerupai haiwan yang paling ditakuti oleh seseorang.
Ulasan; Katakan seseorang itu takutkan singa, maka syaitan akan menyerupai singa yang sangat ganas menyebabkan pada pengakhiran nyawa seseorang anak adam, apa yang ditakuti di dalam hatinya adalah singa dan bukan lagi Allah Taala.
3)Syaitan akan menyerupai haiwan yang paling disayangi oleh seseorang
Ulasan; Andaikan seseorang itu sayangkan haiwan seperti kuda, hamster, ikan, burung, beruk dan lain-lain, maka syaitan akan menyerupai haiwan yang sangat disayanginya itu menyebabkan pada pengakhiran nyawa seseorang anak adam, apa yang dicintai di dalam hatinya adalah haiwan tersebut dan bukan lagi Allah Taala.
4)Syaitan akan menjelma menyerupai orang yang paling dibenci oleh seseorang.
Ulasan; Bayangkan 2 orang adik-beradik kandung bergaduh kerana harta pusaka. Si adik sangat bencikan abangnya kerana pertikaian tersebut. Maka, syaitan akan datang menyerupai abangnya di saat sakaratul maut adiknya sehingga adiknya mati dalam keadaan penuh kebencian dan dendam.
5)Syaitan akan menjelma menyerupai orang yang paling disayangi oleh seseorang.
Ulasan; Teringat sebuah pentomin sakaratul maut semasa minggu orientasi di Maahad dahulu di mana ada babak syaitan yang datang menyerupai ibu seseorang yang sedang nazak dan menggoyang-goyangkan buah susunya sambil berkata, "Anakku, engkau haus? Jika engkau mahu air susuku ini, maka mari ikut aku dan tinggalkan Islam,".
6)Syaitan akan datang menyerupai alim ulama
Ulasan; Syaitan akan datang dalam bentuk alim ulama dan mungkin juga ulama muktabar yang pernah kita kenali. Namun, harus diingat target syaitan adalah supaya anak adam mati dalam keadaan kufur. Maka, ulama jelmaan syaitan ini akan cuba mempengaruhi seseorang agar kufur kepada Allah.
Mungkin cukup dengan kata-kata, "Aku sebenarnya adalah Tuhan. Mari ikut aku. Tinggalkan Islam. Cukuplah engkau kelipkan mata untuk menyatakan kesaksian mu,".
7)Syaitan akan datang menyerupai 72 golongan yang sesat
Ulasan; Nabi bersabda di akhir zaman umat Islam akan berpecah kepada 73 puak. 72 puak adalah sesat dan satu puak sahaja yang benar. Maka, syaitan mungkin akan datang menyerupai 72 golongan tersebut yang terdiri daripada khawarij, anti-hadis, Islam Hadhari, 1 Malaysia, Judi Halal dan lain-lain.
Setelah mendengar kuliah tersebut dapatlah disimpulkan bahawa syaitan tidak pernah mengambil cuti sakit mahupun emergency leave untuk menggoda manusia ke arah neraka jahannam.
Oh, ya ! Bagaimana pula cara berhadapan dengan 7 godaan tersebut ? Ya, tidak mudah kerana syaitan adalah pakar taktikal. Syaitan telah hidup berjuta tahun berbanding kita dan mereka banyak pengalaman dalam selok-belok penipuan.
Jadi, tidak dapat tidak sewajarnya bermula dari sekarang kita cuba beramal dengan ajaran Islam yang syumul (bukan pilih-pilih) dan sentiasa berdoa kepada Allah akan diberikan husnul khatimah (pengakhiran yang baik) dan dijauhkan daripada suul khatimah (pengakhiran yang buruk). Usaha + doa.
Hanya Allah Maha Pengasih dan Maha Pengampun..
No comments:
Post a Comment