Thursday, December 9, 2010

Penyokong Kerajaan Zalim Dihalau dari Telaga Kauthar

At-Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadis daripada Ka’ab bin ‘Ujrah katanya, pada suatu hari Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Wahai Ka’ab, aku mohon perlindungan daripada Allah s.w.t supaya melindungimu daripada pemerintah-pemerintah yang datang selepas aku. Barangsiapa yang mendatangi pemerintah di tempat kediaman rasmi mereka, serta membenarkan pembohongan para pemerintah dan menolong segala kezaliman mereka, sesungguhnya mereka bukan daripada umatku, ia tidak dapat menemui aku dan menghampiri telagaku (Telaga Kauthar) di akhirat kelak. Barangsiapa yang terpaksa pergi ke istana pemerintah sedang dia tidak membenarkan pembohongan pemerintah dan tidak membantu di atas kezaliman pemerintah, sesungguhnya aku adalah sebahagian daripadanya.”*1

Hadis riwayat at-Tirmidzi ini memperkatakan mengenai orang-orang yang tidak dapat meminum air Telaga Kauthar di akhirat kelak, atas sebab-sebab mereka telah mengingkari sunnah Rasulullah s.a.w. Di antara mereka ialah golongan yang suka mendekati istana ataupun mengampu pemerintah bagi mendapatkan habuan-habuan tertentu. Mereka mempunyai tujuan duniawi dalam kegiatan mereka mendekati pemerintah, sedangkan mereka sedar bahawa pemerintah tidak mengikut sunnah Rasulullah. Mereka mengampu dan sanggup membenarkan segala pendustaan dari istana ataupun pemerintah zalim itu kerana mempunyai tujuan tertentu.

Sikap buruk orang-orang yang suka mendampingi sehingga tidak sanggup mempertahankan prinsip hidup bagi menyatakan kebenaran, tidak berani menegur penyelewengan pemerintah yang telah menyalahi sunnah Rasulullah s.a.w. Bukan sahaja mereka membiarkan pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah, malah sebaliknya mereka sanggup mengiyakan atau membenarkan pembohongan pihak pemerintah.

Bukanlah sikap orang mu’min yang suka mendampingi raja atau pemerintah jika dengan maksud untuk mendapatkan habuan tertentu. Ini tidak bererti Islam tidak membenarkan penganutnya mendekati pemerintah, ia suatu yang diharuskan andainya pemerintah yang melaksanakan hukum syariat Allah s.w.t. Namun bukan sikap orang mu’min yang gemar mendekati pemerintah sedangkan mereka tidak sanggup menegakkan kebenaran dan menentang kebatilan yang dilakukan oleh pemerintah.

Apabila seseorang itu membenarkan pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah, maka ia bercanggah dengan prinsip Islam. Islam menghendaki penganutnya supaya tidak meragui kebenaran, kerana kebenaran itu datang hanya daripada Allah s.w.t sebagaimana firman-Nya:




“Kebenaran (yang datangnya kepadamu dan disembunyikan oleh kaum Yahudi dan Nasrani) itu (wahai Muhammad), adalah datangnya dari Tuhanmu; oleh itu jangan sekali-kali engkau termasuk dalam golongan orang-orang yang ragu-ragu.”
(Al-Baqarah : 147)

Orang yang mengetahui bahawa pemerintah itu berbohong sedangkan dia membenarkan pembohongan itu, Rasulullah s.a.w menyifatkan orang itu bukan dari kalangan umatnya. Sedangkan orang-orang yang dianggap dari kalangan umat Nabi Muhammad s.a.w pun ada yang tidak dapat mendekati Telaga Kauthar, betapa pula jika mereka yang sudah tidak diakui oleh Rasulullah s.a.w sebagai umatnya, maka tepat sekali penjelasan baginda bahawa mereka tidak mempunyai sebarang harapan untuk menghampiri dan minum air dari Telaga Kauthar.

Apakah yang dimaksudkan pembohongan oleh pemerintah? Pembohongan itu misalnya ialah pemerintah yang tidak melaksanakan hukum Allah dan undang-undang yang termaktub dalam al-Quran tetapi mereka mendakwa sebagai kerajaan Islam atau negara Islam. Para pemimpin mempromosikan negara yang ditadbirnya sebagai sebuah negara Islam, sedangkan perlembagaan negara sekular. Islam mengharamkan judi dan arak, tetapi negara yang didakwa sebagai sebuah negara Islam menghalalkan judi dan arak dengan cara mengeluarkan lesen. Pengeluaran lesen itu bererti membenarkan atau menghalalkan perkara yang diharamkan Allah s.w.t. Pembohongan itu sepatutnya disanggah terutama oleh para ulama dan juga umat Islam yang prihatin terhadap kemungkaran. Malangnya tidak kurang pula orang-orang yang bertaraf ulama saling bergayutan di pintu-pintu istana para pemerintah, memejamkan mata terhadap kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah. Apa yang mendukacitakan apabila ulama istana pun turut mengiyakan dan membenarkan dakwaan para pemimpin yang terang-terang dusta itu. Yang pasti, sehingga hari ini bilangan ulama-ulama yang telah dan sedang bergayutan di pintu-pintu istana pemerintah melebihi 40 orang. Mereka hanya membiarkan pemerintah menzalimi rakyat dengan menaikkan harga minyak dan barang dengan sesuka hati yang jelas memberi kesan yang amat buruk ke atas kehidupan rakyat. Mereka membiarkan pemerintah yang zalim terus merompak harta kekayaan negara yang sepatutnya menjadi hak rakyat, salah guna kuasa dan urus tadbir awam yang penuh dengan kepincangan. 

Soalnya, mengapa ada ulama yang boleh berkompromi dengan kemungkaran dan pembohongan yang dilakukan oleh pemerintah? Mengapa lidah mereka menjadi kelu apabila berhadapan dengan pembohongan pemerintah itu, sedangkan mereka tahu Rasulullah s.a.w telah mengingatkan umatnya, “Barangsiapa yang melihat kemungkaran mestilah mencegah dengan tangannya (kuasa), jika tidak terdaya dengan tangan maka hendaklah ditegah dengan lidahnya (lisan dan tulisan) jika tidak berupaya hendaklah ditegah (membenci) dengan hatinya, sesungguhnya yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

Orang yang terpaksa pergi ke istana ataupun ke kediaman rasmi para pemimpin atau pemerintah, mereka mesti sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab untuk menegakkan prinsip Islam iaitu ‘Katakanlah yang benar itu sekalipun pahit.”*2

Tidak wajar bagi orang yang mu’min bersikap mengambil hati pemerintah, kerana sikap itu boleh menyebabkan seseorang itu jatuh ke dalam jurang pengampu. Memang selamanya para pengampu itu tidak akan berkata kecuali apa yag disukai oleh orang yang diampunya. Andainya seorang mu’min terpaksa pergi ke istana atau ke kediaman rasmi para pemerintah, dia mesti mempunyai tanggungjawab menegakkan kebenaran. Berani menyanggah pembohongan pihak pemerintah dan menentang segala kezaliman yang dilakukan.

Sekiranya inilah sikap umat Nabi Muhammad s.a.w terhadap pemerintah yang zalim dan pembohong, maka Rasulullah s.a.w menyatakan dalam hadis riwayat at-Tirmidzi; “Bahawa aku adalah sebahagian daripadanya (sebahagian daripada orang yang tidak membenarkan pembohongan pemerintah dan tidak membantu kezaliman pemerintah).”

Menjadi sebahagian daripada diri Rasulullah bererti bersama-sama mendapat kurnia Allah di akhirat sebagaimana kurnia yang diterima oleh Rasulullah s.a.w. Baginda dikurniakan Allah s.w.t dengan Telaga Kauthar, maka orang yang menjadi sebahagian daripada diri Rasulullah itu pasti mendapat sebahagian daripada air Telaga Kauthar itu.

Orang yang berani menyatakan kebenaran kepada pemerintah yang zalim adalah orang yang telah melaksanakan tugas nabi-nabi. Pengertian bahawa diri Nabi menjadi sebahagian daripada diri mereka bererti mereka telah melaksanakan apa-apa yang telah dilaksanakan oleh para nabi.

Rasulullah s.a.w seperti yang diriwayatkan oleh at-Tirmidzi daripada Ka’ab bin ‘Ujrah mengakui bahawa orang-orang mu’min yang tidak membenarkan ataupun tidak menyokong kezaliman pemerintah, maka sesungguhnya baginda menjadi sebahagian daripada diri orang mu’min itu (wa ana minhu).

Apakah yang dimaksudkan dengan ucapan Rasulullah s.a.w; “Bahawa aku adalah sebahagian daripadanya iaitu sebahagian daripada diri orang mu’min itu”? Apakah ia bermaksud bahawa di dalam jasad ataupun darah orang mu’min itu terdapat sebahagian daripada jasad ataupun darah Rasulullah s.a.w?

Terdapat pelbagai tafsiran di kalangan ulama mengenai sabda junjungan itu, ia membawa pengertian yang luas sebagaimana ulasan para ulama terhadap ucapan selawat ke atas Rasulullah s.a.w yang berbunyi; “Allahumma solli ‘ala Muhammad wa-‘ala aali Muhammad.” Siapakah yang dimaksudkan dengan ‘aali Muhammad’ (keluarga Nabi Muhammad s.a.w), keluarga Nabi Muhammad secara khususnya ialah keluarga terhormat daripada keturunan Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib, dua keluarga terbesar itulah yang menjadi susur-galur keluarga Rasulullah s.a.w.

Walau bagaimanapun terdapat di kalangan ulama yang mentafsirkan maksud ‘aali Muhammad’ (keluarga Muhammad) ialah ‘Kullu Mu’minin’ iaitu setiap orang mu’min yang membenarkan kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, yang menggemari dan mengikuti sunnahnya. Sunnah Rasulullah s.a.w dalam ibadahnya, muamalah, kekeluargaannya, pergaulan dan kemasyarakatannya, sunnah dalam siasah atau urusan pentadbiran negara, sunnah dalam menghadapi musuh-musuh Islam, sunnah dalam menghadapi kebatilan dan kemungkaran dan seterusnya sunnah dalam menegakkan kebenaran.

Orang-orang mu’min yang mempunyai ciri-ciri sedemikian disifatkan oleh ulama muhaddisin sebagai keluarga Rasulullah s.a.w. Ini kerana mereka mendukung segala ciri-ciri kebenaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Kepada mu’min yang sedemikian pendiriannya ditujukan ucapan baginda, ‘wa ana minhu’ itu, bahawa baginda menjadi sebahagian daripada diri orang itu.

Ucapan dan pengakuan baginda itu tentulah lebih bermakna daripada hanya sekadar kekeluargaan berdasarkan pertalian darah, kerana sejarah sudah menunjukkan kepada kita bahawa ada juga orang yang mempunyai hubungan darah dengan baginda tetapi mereka menentang ajaran yang dibawa dan tidak mahu mengiktiraf kerasulan Nabi Muhammad s.a.w hingga ke akhir hayat mereka, seperti Abu Jahal dan Abu Lahab yang akhirnya menjadi abu neraka.

Orang-orang yang mempunyai pertalian darah dengan Rasulullah s.a.w tetapi menentang ajaran yang dibawanya, sudah tentu tidak termasuk dalam ucapan selawat ke atas baginda sebagai ‘aali Muhammad’.

Oleh itu ulama telah mengkategorikan orang-orang mu’min yang beriman dengan Allah dan kerasulan Muhammad yang percaya dengan hukum halal, haram, sunat, makruh dan mubah yang menjadi landasan dalam kehidupan harian baginda, adalah yang paling layak bergelar ‘keluarga Muhammad’. Justeru itu ulama berpendapat apabila seseorang berselawat ke atas Rasulullah s.a.w dan ke atas keluarganya, maka orang-orang mu’min yang mempunyai ciri-ciri seperti yang disebutkan itu termasuklah dalam ucapan selawat itu. Wallahu a’lam.

Demikianlah orang-orang mu’min yang kamil itu digolongkan sebagai keluarga Nabi Muhammad s.a.w berdasarkan kepada amalan dan perjuangan mereka mempertahankan kebenaran daripada Allah yang dibawa oleh Rasul-Nya Muhammad s.a.w. Suatu bukti bahawa pertalian kekeluargaan itu sangat rapuh dan pernah dinafikan oleh Allah s.w.t melalui peristiwa yang berlaku kepada Nabi Nuh a.s sebagaimana firman-Nya:






Dan Nabi Nuh merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Sesungguhnya anakku itu dari keluargaku sendiri, dan bahawa janji-Mu itu adalah benar, dan Engkau adalah sebijak-bijak Hakim Yang menghukum dengan seadil-adilnya". Allah berfirman: "Wahai Nuh! Sesungguhnya anakmu itu bukanlah dari keluargamu (kerana ia telah terputus hubungan denganmu disebabkan kekufurannya); Sesungguhnya bawaannya bukanlah amal yang soleh, maka janganlah Engkau memohon kepada-Ku sesuatu yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sebenarnya Aku melarangmu dari menjadi orang yang jahil".
(Surah Huud : 45-46)

Sebagai seorang ayah sudah tentu Nabi Nuh mengakui bahawa anaknya walau dalam keadaan bagaimana sekalipun tetap darah keturunannya juga. Ketika air bah sudah mulai melimpah ke daratan, Nabi Nuh mengajak anaknya supaya menaiki bahtera yang dibuatnya sendiri. Tetapi anaknya enggan menaiki bahtera itu, sebaliknya dia berenang menuju ke puncak bukit. Ketika itu Nabi Nuh berdoa kepada Allah s.w.t supaya membuka pintu hati anaknya untuk menerima kebenaran dan bersedia menaiki bahtera bersama orang-orang yang beriman. Tetapi Allah s.w.t dalam ayat tersebut telah menafikannya, bahawa sesungguhnya dia bukanlah keluarga Nuh. Kerana amalannya tidak soleh dan tidak berpegang kepada akidah tauhid yang dibawa oleh bapanya. Dengan sebab itu Allah s.w.t menafikan bahawa dia adalah daripada keluarga Nuh dalam erti kata keluarga seorang utusan Allah yang membawa ajaran yang haq iaitu ajaran tauhid. Walaupun dia adalah darah daging Nabi Nuh a.s, namun kekeluargaan di atas pertalian darah tidak mempunyai kaitan langsung dengan kebenaran yang diperjuangkan oleh Nabi Nuh a.s.

Demikianlah halnya dengan keluarga Nabi Muhammad s.a.w, atas nama seorang Rasul yang membawa akidah tauhid, maka jelaslah bahawa keluarga bagi seorang Rasul Allah itu hanyalah mereka yang beriman yang menerima kebenaran dan mengamalkannya dengan ikhlas. Dialah yang selayaknya bergelar ‘Keluarga Muhammad’.

Justeru itu setiap mu’min wajib berusaha sepenuh tenaga untuk menjadi sebahagian daripada diri Rasulullah s.a.w, iaitu bersikap tegas terhadap pemerintah yang zalim, tidak membenarkan sebarang pembohongan dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah dan tidak berkompromi dengan kezaliman yang dilakukannya.

*1 = Sunan at-Tirmidzi: hadis no. 558, al-Mukjam al-Kabir: hadis no 15 561

*2 = Hadis ini sahih lighairih mengikut penilaian Albani. Rujuk kitab Sahih At-Targhih wa At-Tarhib: 3/57: hadis no. 2868

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...